Kes tuntutan harta Allahyarham Jamaludin Jarjis diketahui esok

STATUS penyelesaian kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion milik Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis yang sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, hari ini terpaksa ditangguhkan esok.

Kes tuntutan harta sepencarian itu membabitkan balu Allahyarham, Puan Sri Kalsom Ismail, 67 dan empat anak serta ibu mentuanya.

Dalam kes tersebut, Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi serta beberapa saham syarikat tempatan pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan ibu mentuanya Aminah Abdullah, 89 sebagai defendan pertama hingga kelima.

Peguam Syarie Nor Husniah Husin yang mewakili Kalsom memberitahu mahkamah pada prosiding hari ini, bahawa pihaknya telah menulis surat kepada mahkamah pada 18 April lalu, untuk menangguhkan kes tersebut.

Menurut peguam itu, peguam syarie utama, Datuk Sulaiman Abdullah yang lebih berkelayakan untuk memaklumkan mengenai status penyelesaian tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana menghadiri mesyuarat di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di Putrajaya.

Katanya prosiding hari ini dijalankan secara tertutup selepas mahkamah membenarkan permohonan pihaknya.

Dalam pada itu, peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili Aminah selaku defendan kelima membantah penangguhan kes dan memohon prosiding bersambung dalam masa terdekat.

Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid kemudiannya membenarkan permohonan peguam plaintif dan meminta kesemua pihak hadir pada jam 2.30 petang esok untuk memaklumkan perkembangan status berkenaan.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Allahyarham Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, mendiang Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Allahyarham Razakan Seran serta seorang wanita dikenali sebagai mendiang Aidana Baizieva. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights