LEBIH banyak laluan kontra akan diadakan bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.
Mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) telah memutuskan kaedah itu untuk mengatasi kesesakan trafik di Lembah Klang terutamanya pada waktu puncak.
Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu berkata, JKMKJR akan meminta input berkaitan kesesakan jalan itu daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum laluan kontra baharu itu diputuskan.
Beliau berkata, PBT berkenaan diberi masa dua minggu untuk memberi input berkaitan sebelum di bawa pada mesyuarat jawatankuasa teknikal JKMKJR untuk diputuskan.
“Ketika ini, beberala laluan kontra diperkenalkan terutama bagi laluan Kajang – Cheras – Putrajaya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, di Putrajaya, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa juga meminta PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya memberi input bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas memandangkan kesesakan kerap berlaku di kawasan itu.
Beliau juga mahu masalah kesesakan jalan yang berpunca daripada penutupan jalan dikurangkan dan diselesaikan dengan segera.
“Satu penyelarasan akan dilakukan segera terutama bagi laluan utama berdekatan kawasan pembinaan lebuh raya, bangunan atau lain-lain infrastruktur.
“Penutupan jalan ini hendaklah dikurangkan dan mesti dimaklumkan supaya ada kaedah penyuraian terhadap masalah lalu lintas,” katanya. – Malaysiapost