MAJLIS Peguam Malaysia disarankan agar didaftar sebagai badan politik kerana dilihat semakin kuat ‘bermain’ politik selain berat sebelah dan amat selektif pihak yang dipertahankan.
Saranan dan sindiran itu dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang berpendapat Majlis Peguam kini tidak lagi fokus kepada peranan asas mereka.
Beliau berkata, sepatutnya badan berkenaan mengawal profesionalisme kepeguaman, namun kini lebih banyak berada di gelanggang politik dan bermain politik.
“Majlis Peguam (Bar Council) akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar biasa (EGM) 10 Mei akan datang. Ia akan membahas usul mengutuk “serangan bertalu-talu” terhadap badan kehakiman.
“Bar Council juga mempertahankan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membidas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyiasat Nazlan.
“Mereka turut mengecam Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana mengesahkan hasil siasatan SPRM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mohd Puad berkata, kesemua tindakan Majlis Peguam berkenaan adalah tidak pelik kerana bermotifkan politik.
“Tidak ada yang pelik dengan tindakan Bar Council itu. Badan itu kuat main politik, berat sebelah dan amat selektif siapa yang mereka mahu pertahankan.
“Lebih baik daftar Bar Council sebagai badan politik. Badan profesional seperti Persatuan Perubatan Malaysia dan Persatuan Arkitek Malaysia tidak pun berperangai macam Bar Council,” katanya.
Beliau berkata, badan berkenaan sepatutnya membahas dan membuat pendirian terhadap dapatan SPRM bahawa Nazlan melanggar tata etika Hakim.
“Itu baru betul. Buatlah pendirian yang bermaruah.
“Kenapa marah Peguam Negara kerana tidak mempertahankan Hakim Nazlan. Kenapa tutup mata sebelah dalam kes Zeti ( Bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz).
“Kenapa tidak bahas memoir Tommy Thomas (bekas Peguam Negara) yang mendakwa ada campur tangan dalam pelantikan hakim-hakim. Kuat politik Bar Council,” sindirnya. – Malaysiapost