Pembangkang minta tangguh RUU Antilompat Parti dibentang di DUN Pahang
PEMBANGKANG meminta penangguhan sementara waktu untuk Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 8 Mei ini.
Perkara itu dimaklum Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang berkata, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah diarah untuk berbincang dengan pembangkang dan pembangkang meminta penangguhan sementara waktu.
Menurutnya, kerajaan negeri bersetuju dengan permintaan pembangkang yang meminta lebih masa untuk meneliti rang undang-undang tersebut.
“Pembangkang memaklumkan mereka memerlukan lebih masa untuk meneliti rang undang-undang itu.
“Mereka mungkin akan memberi cadangan dan di pihak kami jika cadangan itu baik maka kami tiada masalah mungkin mempertimbangkan untuk membuat perubahan yang perlu.
“Ia akan dibentangkan sebaik sahaja pihak pembangkang memberikan cadangan mereka dan setelah kerajaan negeri meneliti cadangan itu,” katanya memetik Sinar Harian, hari ini.
Pada 12 April lalu, Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, RUU anti lompat parti dijangka dibentangkan di DUN Pahang pada 8 Mei nanti.
Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri dijangka memberi sokongan mereka dengan majoriti dua pertiga berdasarkan persetujuan semua ADUN Pahang selepas taklimat Perlembagaan (Pindaan) No.3 Akta 2022 (Akta A1663) (Anti-Lompat Parti) daripada Pejabat Penasihat Undang-undang.
Pahang adalah antara negeri yang masih belum melaksanakan undang-undang anti lompat parti bagi ADUN sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober 2022. – Malaysiapost