Penuntut IPT parah terjatuh dari tingkat enam asrama

SEORANG penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam bangunan kediaman sebuah universiti di Perlis, semalam.

Difahamkan penuntut lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai terjatuh selepas tergelincir ketika cuba memanjat masuk ke dalam kediamannya untuk mengambil kunci rumah yang tertinggal.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada MERS 999 kira-kira jam tiga petang.

“Pegawai penyiasat yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati mangsa merupakan seorang pelajar lelaki berusia 24 tahun dan menetap di asrama universiti itu.

“Saksi memberitahu terdengar bunyi di luar bangunan kediaman sebelum melihat mangsa terbaring berlumuran darah di atas lantai,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ketika ditemui mangsa masih dalam keadaan sedar, namun tidak boleh bergerak.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan lanjut dan disahkan stabil oleh pihak hospital.

Katanya, polis yang berada di lokasi kejadian turut mengambil keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pada masa sama, Mohd Shokri turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kejadian berkenaan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Punca kejadian masih disiasat dan polis turut memohon kerjasama saksi lain yang berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights