Permohonan 3 geran utama industri digital dibuka mulai hari ini
PERMOHONAN baharu bagi tiga geran utama iaitu Geran Kandungan Digital (DCG), Geran Malaysia Digital X-Port (MDXG) dan Geran Pemangkin Malaysia Digital (MDCG) dibuka mulai hari ini sehingga 1 Jun 2023.
Inisiatif kerajaan itu diselaraskan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), yang merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
DCG memfokuskan kepada pembangunan industri kreatif digital, MDXG pula bertujuan menyokong pengembangan syarikat teknologi tempatan untuk mempelopori pasaran antarabangsa.
Manakala MDCG menyasarkan pembangunan teknologi dan inovasi yang berdaya saing.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pengagihan geran tersebut penting bagi merealisasikan idea pemain industri kreatif.

Menurutnya, ia juga bagi meningkatkan bakat bakat tempatan dalam penciptaan kandungan digital.
“Ini termasuk manfaat hasil daripada kerjasama di peringkat antarabangsa dan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fahmi berkata, ekonomi digital Malaysia telah mencapai 22.6 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021.
“Angka tersebut dijangka berkembang melepasi sasaran awal sebanyak 25.5 peratus menjelang 2025.
“Ketiga-tiga geran berkenaan merupakan salah satu resolusi masa depan bagi menyediakan ekosistem industri digital negara yang lebih kondusif dan mampan,” katanya.
Permohonan terpilih perlu menghadiri sesi pembentangan yang dijadualkan pada bulan Jun ini.
Keputusan permohonan dijangka akan diumumkan pada bulan Julai tertakluk kepada jumlah permohonan yang diterima.
Pemohon yang berminat boleh melayari laman web www.mdec.my/grants untuk mendapatkan maklumat lanjut. – Malaysiapost