Tiada MP BN terbabit porak peranda, jatuhkan Kerajaan Perpaduan – Tok Mat

DATUK Seri Mohamad Hasan menafikan  dakwaan sesetengah pihak terdapat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terbabit dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan. 

Timbalan Pengerusi BN itu berkata, parti itu tidak akan memporak-perandakan kerajaan sedia ada kerana telah berjanji untuk membentuk kerajaan yang stabil sekali gus diperlukan bagi menguruskan negara. 

Tegasnya, kerajaan yang ditubuhkan hari ini adalah atas dasar kerjasama pelbagai parti.

“Untuk menumbangkan kerajaan sekarang saya rasa agak sukar kerana Akta Anti Lompat Parti telah berkuat kuasa dan mana-mana Ahli Parlimen yang mahu menyokong parti lain perlu meletakkan jawatan dan diadakan pilihan raya kecil.

“Kerajaan kini juga mempunyai majoriti yang agak besar sebanyak 148,” katanya dalam sidang media di Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahanan di ibu negara, hari ini. 

Timbalan Presiden Umno itu diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman yang mendakwa Perikatan Nasional telah mendapat sokongan 126 Ahli Parlimen.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan menegaskan, kerajaan yang stabil diperlukan berikutan hampir lima tahun membuang masa melayan polemik politik akibat kerajaan yang dibentuk tidak stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Justeru Mohamad berkata, kerajaan memerlukan majoriti kukuh dan BN akan memainkan peranannya untuk memberi komitmen penuh bagi memastikan kerajaan berada dalam keadaan stabil dan kuat.

“Sekarang kita telah mempunyai kerajaan yang mempunyai majoriti yang kuat dan kita perlu berusaha duduk bersama untuk menguruskan negara.

“Pada 14 Mei ini, kita akan ada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan untuk melihat sejauh mana dan bagaimana janji pada Pilihan Raya Umum ke-15 dapat ditunaikan kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights