OPERASI pembenihan Awan (OPA) telah dilaksana oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang dan Empangan Teluk Air Itam, Pulau Pinang, bermula hari ini.
Menurut kenyataan TUDM, OPA kali ini adalah usaha bersepadu bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dijangka berakhir Khamis ini, bergantung kepada keadaan. Â
“Pelaksanaan OPA ini telah dimulakan dengan taklimat penerbangan dan keselamatan oleh Leftenan Kolonel Mohd Khairol Fadly bin Abu Bakar TUDM yang menerbangkan pesawat angkut C130 Hercules.
“Kerja-kerja bagi OPA ini telah dimulakan dengan bancuhan garam oleh pihak MET Malaysia dan TUDM bermula kira-kira jam 11.00 pagi,” kata kenyataan itu.
Sebanyak empat buah tangki bancuhan larutan garam telah disediakan dengan muatan 1,500 liter setiap satu tangki.
“Setiap tangki ini memerlukan 200 kilogram garam menjadikan keseluruhannya campuran air garam yang mengandungi 800 kilogram garam dan 6,000 liter air.
“Setelah mengambil masa lebih kurang tiga (3) jam penyediaan bancuhan, keempat-empat tangki ini kemudiannya telah dimasukkan ke dalam badan pesawat C130H oleh anak kapal No 20 Skuadron,” katanya.
Menurut TUDM, operasi hari ini melibatkan pesawat angkut milik TUDM yang diketuai komander pesawat, Leftenan Kolonel Mohd Khairol Fadly Abu Bakar; juruterbang pertama, Mejar Mohammad Irwan Kamarudzaman dan pembantu juruterbang Kapten Ahmad Aslam Hadi Hassan TUDM yang berlepas pada jam 2.45 petang dari Pangkalan Udara Subang.
“Penerbangan bagi misi OPA turut disertai lima anak kapal iaitu Mej Solihin Azman, Mejar Yusof Baydowi, Pegawai Waran Udara 1 Saifu Abdullah, Sarjan Udara Khusyairi, dan empat orang kakitangan MET Malaysia serta seorang kakitangan daripada Badan Kawal Selia Air.
“Semoga usaha bersepadu yang dilaksanakan dapat membantu usaha-usaha pembenihan awan bagi memulihkan bekalan air yang terjejas dan semakin menyusut di kawasan tadahan hujan,” katanya. – Malaysiapost