Wan Saiful dakwa Saifuddin akan guna kuasa lulus program politik

Wan Saiful dakwa Saifuddin akan guna kuasa lulus program politik

AHLI Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menggunakan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk program politik kerajaan perpaduan.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, ucapan Saifuddin dalam ceramah di Kedah pada 29 April lalu memberi gambaran beliau akan menggunakan kuasa untuk kelebihan program politik PH-Umno di negeri itu.

“Ini adalah satu lagi contoh betapa semangat reformasi sudah lenyap dari PH-Umno. Dulu mereka menjerit melaungkan pentingnya membebaskan institusi dari campur tangan politik.

“Tapi PH-Umno kini langsung tidak malu-malu memperalatkan institusi penguatkuasa untuk kepentingan politik mereka.

“Jika polis boleh diberi arahan sesuka hati untuk agenda politik PH-Umno, apa jaminan yang boleh diberi kepada rakyat bahawa institusi penguatkuasa lain tidak diarah secara terpilih untuk tujuan yang sama?,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Wan Saiful mengulas video ucapan Saifuddin dalam Himpunan Madani Kedah 2023 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Alor Setar baru-baru ini.

Saifuddin dilaporkan berkata:

“Permit polis jangan risau. Saya akan lulus segera. Tak ada masalah. Dulu kita ada masalah permit polis, la tak ada masalah. Kita akan suruh Dato Mahfuz atau Mahdzir Khalid angkat permohonan kepada Menteri Dalam Negeri. Insya-Allah kita lulus segera.”

Ucapan itu dipercayai merujuk kepada proses permohonan program politik di Kedah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu tidak lama lagi.

Jelas Wan Saiful lagi, langkah itu menunjukkan gabungan PH-Umno sudah tidak lagi beriltizam untuk menjaga melindungi kebebasan institusi penguatkuasa.

“Sebaliknya kini PH-Umno sedang rakus mempergunakan apa saja kuasa serta agensi terpilih demi kepentingan politik.

“PH-Umno sudah hilang hala tuju dan mereka bulan lagi pengibar reformasi,” katanya.- Malaysiapost

Komen