Che’ Puan Besar Khaleeda hargai semua pihak yang memperjuangkan keadilan untuk Bella

ISTERI Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku İsmail Ibrahim, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam merakamkan penghargaan kepada aktivis-aktivis yang selama ini memperjuangkan keadilan untuk remaja sindrom Down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella.

Penghargaan itu susulan mahkamah hari ini, mendapati tertuduh Siti Bainun Ahd Razali bersalah atas tuduhan mengabaikan dan mendera Bella sehingga menyebabkan remaja itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi yang serius.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada aktivis-aktivis Justice for Bella, peguam lantikan TMJ, pasukan pendakwaan dan individu lain yang begitu prihatin akan tragedi yang berlaku terhadap Bella.

“Saya dan TMJ amat prihatin terhadap isu penderaan kanak-kanak dan berpandangan kes ini perlu diambil sebagai pengajaran oleh semua pihak serta berharap kes seumpama ini tidak berulang atau berlaku lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, susulan kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai kes adik Bella, pada November 2022, TMJ telah mengambil inisiatif segera dengan menitahkan empat peguam turut sama menyertai perbicaraan kes berkenaan.

Beliau berkata, peguam berkenaan adalah Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman yang diminta memberikan segala bantuan yang sewajarnya bagi memastikan keadilan terhadap mangsa dapat ditegakkan pada ketika itu.

Terdahulu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Siti Bainun bagi kesalahan mengabai dan 12 tahun penjara untuk pertuduhan menganiaya Bella.

Bagaimanapun dia hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas hakim memerintahkan hukuman berjalan secara serentak, bermula hari ini.

Tertuduh juga diperintahkan menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun dengan seorang penjamin warga tempatan, berserta cagaran RM5,000.

Siti Bainun turut diperintahkan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara. – Malaysiapost

Kredit foto: Kosmo Digital

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights