DNB teruskan 5G hingga penghujung 2023

KERAJAAN pada hari ini bersetuju supaya pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia diteruskan melalui Digital Nasional Berhad (DNB) sehingga mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, berkata peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berpandukan syarat-syarat yang selari dengan amalan diperingkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian bukan sahaja untuk rakyat, malah juga untuk sektor perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dengan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif.

“Model ini turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekaligus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB.

“Selaras dengan prinsip utama yang digariskan dalam ucapan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, peralihan ini dapat memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G sedia ada pada kadar yang berpatutan untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan DNB serta penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights