Ibu rakyat Malaysia, dua anak masih terkandas di Sudan

WISMA Putra mengesahkan tiga rakyat Malaysia – seorang ibu dan dua anaknya serta suami warganegara Sudan masih terperangkap dan tinggal di wilayah Al Gaza, Sudan yang sedang bergolak.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata maklumat diterima melalui Facebook Messenger Kedutaan Malaysia di Sudan pada 30 April lalu.

Katanya, keluarga tersebut tidak pernah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.

“Bagaimanapun, usaha membawa mereka keluar dari Sudan sedang diusahakan oleh Taskforce Ops Sudan.

“Ketika ini, tiga-tiga rakyat Malaysia serta suami warganegara Sudan sedang dalam penjalanan menuju ke Port Sudan dan dijangka tiba di situ pada hari ini,” katanya menerusi kenyataan.

Zambry berkata, kementerian melalui Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dan Sudan sedang memohon bantuan kerajaan Arab Saudi serta Kedutaan Besar Pakistan di Sudan supaya mereka dapat menaiki kapal untuk dibawa keluar dari Port Sudan ke Jeddah dalam masa terdekat.

“Insya-Allah kita sama-sama doakan usaha ini dipermudahkan dan mereka akan selamat tiba di tanah air nanti,” katanya.

Pada 28 April lalu, kerajaan Malaysia telah membawa pulang pulang 30 rakyat Malaysia ke tanah air pada 28 April 2023 menerusi penerbangan Saudi Airlines.

Ini termasuk masing-masing seorang warga Filipina (pembantu rumah), warga Thailand (PETRONAS) dan seorang warga Palestin (bapa kepada empat rakyat Malaysia yang dibawa balik).

Sementara itu Zambry memaklumkan dua rakyat Malaysia kini sedang menyertai misi United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA) di wilayah Abyei, Sudan.

Mereka ialah Mejar Zazalina Ghazali dan Lt Kdr Naadifarin Che Kamaruddin.

“Mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat kerana setakat ini wilayah Abyei tidak tenejas teruk oleh pertempuran di Sudan.

“Jika keadaan memerlukan, proses membawa keluar kedua-kedua rakyat Malaysia ini akan dikendalikan pihak PBB,” katanya.

Pertempuran antara tentera Sudanese Armed Forces (SAF) dengan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus sejak 15 April lalu masih berterusan dan dilaporkan sengit.

Gencatan senjata telah diusulkan oleh pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika (AU), kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat serta Arab Saudi namun masih gagal.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Sudan, 528 orang telah terbunuh manakala 4,599 orang tercedera akibat konflik ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights