Jual gula harga melampau, peniaga dikompaun
SEORANG wanita yang juga peniaga kedai runcit dikenakan kompaun kerana menjual gula paket 1 kilogram (kg) dengan harga RM3.90 melebihi harga ditetapkan iaitu RM2.85 sepaket.
Peniaga berkenaan membeli gula secara pukal sebelum membungkus semula dalam paket 1kg dan menjual dengan harga yang tinggi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, tangkapan terhadap peniaga berusia 40-an itu dibuat di Kampung Rawa Bechah Laut, Tanah Merah, Kelantan.
“Siasatan awal mendapati berlaku transaksi jualan semasa serbuan dibuat dan alasan yang digunakan adalah untuk membantu kenalan yang terdesak mendapatkan bekalan gula.
“Wanita itu mendapatkan bekalan gula dari luar Kelantan dan menjual barangan itu pada harga RM3.90 sekilogram berbanding RM2.85 harga semasa.
“Sebanyak 51 kg gula pasir bertapis disita dengan jumlah sitaan bernilai RM145.35 dan kes disiasat mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana menjual gula pasir melebihi harga kawalan,” katanya.
Azman turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pembelian panik kerana isu bekalan gula akan pulih dalam masa terdekat.
Menurutnya, bekalan gula terputus di negeri itu disebabkan penutupan sementara dua kilang gula di Pulau Pinang dan Johor sempena Aidilfitri lalu, malah sejak kelmarin sebanyak 100 tan metrik bekalan gula sedang diterima untuk dihantar kepada tiga pemborong besar di Kelantan.
“Bekalan itu akan dihantar juga kepada pemborong daerah dan peruncit yang boleh diperoleh bermula daripada 30 tan metrik serta bergantung kepada kewangan peniaga,” katanya.
Beliau berkata, KPDN Kelantan menubuhkan pasukan khas melalui Op Manis bermula hari ini untuk memberi tumpuan penuh dalam usaha pemulihan bekalan gula, mengelakkan pembelian panik, menyorok bekalan dan menjual melebihi harga.
Menurutnya, setakat ini pihaknya menerima 11 aduan berkaitan isu terbabit iaitu tiada bekalan gula, peniaga enggan menjual dan gula dijual pada harga mahal.
“Untuk rekod, kami menyelaraskan pengagihan kepada rantaian pengedaran pemborong, pasar raya dan peruncit serta peniaga seluruh Kelantan iaitu sebanyak 111 premis secara keseluruhannya.
“Lebih daripada 55 peratus daripada 225 peruncit terpilih dan 70 peratus daripada pemborong terpilih mempunyai bekalan gula direkodkan seluruh negeri Kelantan,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto: Kosmo digital