JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) menyifatkan kenyataan Ustaz Wadi Annuar yang mendakwa jabatan itu tidak memberi kerjasama ketika beliau hadir sesi siasatan semalam, jauh tersasar.
Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim, berkata Wadi telah hadir ke JAIPs semalam bagi tujuan siasatan, namun kenyataan pendakwah bebas itu gagal diambil.
Ini kerana katanya, Wadi telah keluar dari bilik siasatan dan menghilangkan diri tanpa sebarang makluman.
“Kenyataan Wadi bertarikh 2 Mei 2023 adalah jauh tersasar dari realiti sebenar yang berlaku di JAIPs.
“Berdasarkan pertemuan itu, Wadi gagal memberikan kerjasama sepertimana ditetapkan JAIPs.
“Jabatan ini akan meneruskan kes berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada yang sedang berkuatkuasa dalam negeri Perlis,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam Wadi atau nama sebenarnya Mohamad Wadi Annuar Ayub memaklumkan telah hadir pada jam 10.30 pagi di pintu pagar pejabat JAIPs bersama barisan peguam untuk sesi siasatan berkenaan.
Bagaimanapun Wadi mendakwa berlaku pertelingkahan apabila hanya seorang peguam dan dirinya sahaja dibenarkan masuk.
“Apabila berhujah, mereka menyatakan bahawa enakmen mereka tidak membenarkan lebih daripada dua orang masuk bagi tujuan siasatan.
“Namun seorang pegawai JAIPs memaklumkan bahawa dua peguam dan saya dibenarkan masuk selepas mendapat arahan daripada pihak atasannya,” katanya.
Wadi turut mendakwa, mereka dibiarkan menunggu beberapa ketika selepas masuk di bahagian penguatkuasa sebelum dipanggil ke dalam bilik siasatan.
“Telah berlaku lagi pertelingkahan antara dua pegawai JAIPs dengan barisan peguam lalu mereka telah mengarahkan peguam keluar dari bilik siasatan, yang mana perkara ini dibantah oleh saya,” katanya.
Wadi juga mendakwa tiada apa-apa soalan dikemukakan dalam tempoh kira-kira setengah jam menunggu, sekali gus ia hanya membuang masa peguam serta dirinya.
Beliau hadir untuk sesi keterangan berhubung penyertaannya pada satu program di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang pada 28 Mac lalu tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis. – Malaysiapost