KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) melaksanakan dua inisiatif membabitkan pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun dengan kadar fi istimewa dan kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata orang ramai boleh mula menikmati kemudahan inisiatif itu mulai 8 Mei 2023 dengan berurusan di Pejabat dan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja.
Beliau berkata, melalui inisiatif pembaharuan LMM untuk tempoh 10 tahun, orang ramai boleh memperbaharui lesen memandu masing-masing untuk tempoh maksima sehingga 10 tahun, berbanding lima tahun pada masa ini.
“Mana-mana pemegang LMM yang memperbaharui LMM untuk tempoh 10 tahun sekali gus akan hanya dikenakan bayaran untuk tempoh sembilan tahun sahaja.
“Maksudnya ada diskaun 10 peratus. Jikalau membayar 10 tahun sekaligus bayaran yang akan dikenakan adalah RM270, penjimatan RM30,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, bagi yang berminat, mereka hendaklah memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa adalah tidak melebihi satu tahun.
“Orang ramai juga akan dibenarkan memperbaharui LMM antara 1 sehingga 10 tahun mengikut pilihan masing-masing tertakluk kepada had maksimum 10 tahun.
“Namun, hanya pembaharuan 10 tahun sekaligus sahaja akan menikmati keistimewaan fi percuma untuk tahun ke-10,” katanya.
Menurutnya, inisiatif kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh pula diberikan selepas mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sepanjang pandemik Covid-19 serta kekangan dihadapi rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM kerana tidak berpeluang untuk pulang ke tanah air.
“MOT akan memberi kebenaran khas kepada mana-mana pemegang LMM yang telah tamat tempoh sah laku untuk memperbaharui LMM masing-masing tanpa perlu menjalani semula ujian.
“Namun, kebenaran khas ini hanya terhad kepada LMM yang mana tempoh sah laku telah tamat mulai 1 Januari 2018 dan ke hadapan sahaja.
“Tempoh kebenaran khas ini hanya berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2023 sahaja. Peraturan sedia ada akan berkuatkuasa semula pada 1 Januari 2024,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif dan kebenaran khas itu hanya boleh dinikmati mereka yang bebas daripada sebarang sekatan urus niaga JPJ dan tidak disenarai hitam Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bebas daripada sebarang penggantungan akibat suatu hukuman atau Perintah Mahkamah.
“Bagi kedua-dua inisiatif dan kebenaran khas yang telah diumumkan, orang ramai boleh mula menikmati kemudahan itu mulai 8 Mei ini dengan berurusan di pejabat atau kaunter JPJ sahaja pada ketika ini.
“Pelaksanaan urus niaga terbabit melalui platform disediakan oleh rakan niaga JPJ seperti Pos Malaysia akan tertakluk kepada kesediaan perubahan sistem oleh pihak berkenaan,” katanya.
Katanya, JPJ juga akan menyediakan senarai Soalan Lazim (FAQ) mengenai kedua-dua inisiatif atau kebenaran khas berkenaan.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk kepada FAQ disediakan atau berhubung terus dengan talian khidmat pelanggan JPJ,” katanya. – Malaysiapost