KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) bersetuju memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawahnya untuk memakai pakaian baju sukan yang sopan semasa cuaca panas.
Menerusi kenyataan hari ini, kementerian itu berkata ia bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.
“Bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah, pemakaian tali leher juga tidak diwajibkan.
“Pihak sekolah diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa supaya tindakan segera dapat diambil bagi menjamin kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana.
“KPM sentiasa mengambil berat kesejahteraan seluruh warganya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut KPM, pihaknya sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana semasa menghadapi cuaca panas dan kering berpanjangan yang sedang melanda negara.
“Fenomena ini merupakan keragaman iklim yang berlaku secara tidak tetap.
“Keadaan cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan,” katanya. – Malaysiapost