Nasib Siti Bainun bakal terjawab pagi ini

PERSOALAN sama ada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan menerima pembelaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang dituduh mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down Bella, akan terjawab pagi ini.

Dalam prosiding yang dijangka bermula pada 10 pagi, Hakim Izralizam Sanusi akan memutuskan di akhir kes pembelaan sama ada Siti Bainun berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap dua tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Jika mahkamah menerima pembelaan itu, Siti Bainun akan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan dan kemungkinan pendakwaan akan merayu terhadap keputusan itu.

Bagaimanapun jika mahkamah mendapati sebaliknya, wanita berusia 31 tahun itu berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, sekali bagi setiap tuduhan.

Tetapi itu bukan pengakhiran buatnya kerana dia berpeluang untuk memohon pelaksanaan hukuman ke atasnya ditangguhkan sementara mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Jika Mahkamah Tinggi masih bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen itu, Siti Bainun yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu di Mahkamah Rayuan.

Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintahkan membela diri selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie, dan selepas memanggil lapan saksinya, pembelaan menutup kesnya pada 9 Mac lepas.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari dan Jun 2021.

Pada 25 November tahun sama, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu, di lokasi dan tarikh sama, mengikut peruntukan seksyen yang serupa.

Kes yang mengejutkan negara itu mendapat perhatian sebahagian besar masyarakat termasuk badan pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib kanak-kanak seperti Bella. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights