LAMAN Facebook Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ‘diserang’ netizen susulan kenyataan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus, hari ini.
Warga maya menyindir kenyataannya pada 31 Mac lalu yang menyifatkan laporan media berhubung jangkaan kenaikan OPR sebanyak 25 mata peratusan pada Julai ini, sebagai fitnah.
Fahmi yang juga jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan ketika itu berkata, hantaran ringkas portal berita arus perdana itu yang menyebut: ‘OPR dijangka naik sekali lagi seawal Julai’ – sebagai fitnah kepada kerajaan dan BNM.
“Post Berita Harian Online ini jadi fitnah terhadap Bank Negara dan Kerajaan. Saya akan jumpa pengurusan BH hari ini, InsyaAllah,” tulisnya di Facebook ketika itu.
Antara komen di hantaran terbaru Ahli Parlimen Lembah Pantai itu adalah sindiran menanyakan sama ada laporan mengenai kenaikan OPR hari ini sama ada benar atau fitnah.
“YB, bank negara naikkan OPR tu. Fitnah atau tak? Kesian rakyat YB,” kata Shamir Scofield.
“Mohon saman Berita Hairan YB sebab tulis awal Julai tapi sekarang awal Mei dah naik. Ini mmg fitnah tanpa sembunyi lagi!” kata Muhammad Al-Walid pula.
Pada 30 Mac lalu, media berkenaan melaporkan penganalisis meramalkan BNM dijangka sekali lagi menaikkan OPR sebanyak 25 mata peratusan seawal Julai ini.
Jangkaan itu dibuat bersandarkan kepada unjuran perkembangan ekonomi dipacu permintaan domestik yang kukuh berikutan pemulihan pekerjaan dan paras pendapatan lebih baik.
Ia juga akan mengambil kira kadar inflasi yang dijangka kekal tinggi walaupun mula menyederhana tahun ini.
Ketua Penyelidik/Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Capital, Alan Tan, berkata pihaknya percaya BNM belum selesai dengan normalisasi dasar monetari pada 2023.
Beliau berkata, sebarang kenaikan OPR menuju ke hadapan akan terukur dan beransur-ansur, yang mana kemungkinan satu lagi kenaikan 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku ketiga 2023. – Malaysiapost