PN dah cukup jumlah, hanya propaganda mabuk kuasa – AMK

PROPAGANDA Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa telah memiliki jumlah majoriti yang cukup untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan merupakan taktik politik murahan semata-mata. 

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban Subramaniam berkata, propaganda kononnya PN memiliki sokongan 126 Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan membuktikan gabungan itu hanya memikirkan bagaimana mahu merebut kuasa sehingga sanggup menggadai prinsip negara.

Beliau berkata, tindakan berterusan PN yang membangkitkan isu bersifat retorik adalah untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Cukup-cukuplah PN untuk menjadi kerajaan ‘tebuk atap’, berusahalah untuk menjadi pembangkang yang baik supaya kestabilan dan kemakmuran negara dapat dikecapi secara bersama.

“Gelombang kebangkitan rakyat menyokong Kerajaan Perpaduan sebagai kerajaan terbaik semakin terasa menerusi sokongan yang dizahirkan pada setiap program kerajaan di seluruh negara,” katanya dipetik Harapan Daily, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman yang mendakwa PN dipercayai telah memiliki sokongan 126 Ahli Parlimen ketika ini. 

Mengulas lanjut, Thiban berkata, rakyat kini sedang bergelut untuk keluar daripada pelbagai masalah yang membelenggu kehidupan seharian tetapi PN terus-menerus menunjukkan kemaruk kuasa untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

Justeru, Ketua Cabang PKR Kuala Selangor itu berharap rakyat yang semakin matang dalam berpolitik dapat menunjukkan isyarat penolakan kepada PN yang mahu merebut kuasa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Rakyat akan membuat pilihan bijak dalam PRN di enam negeri dengan menilai prestasi semasa dan komitmen yang ditunjukkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya yakin rakyat akan membuat keputusan bijak, apa yang diusahakan PM dalam tempoh beberapa bulan ini adalah menjadi faktor penting untuk rakyat memberikan keputusan awal mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan, segala tindak-tanduk dan usaha yang dilakukan oleh PN tidak akan mampu menggugat kestabilan kerajaan yang wujud pada hari ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights