Pulau Pinang tidak tukar Ketua Menteri

Pulau Pinang tidak tukar Ketua Menteri

GESAAN dan desakan supaya Lim Guan Eng kembali menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang disifatkan sebagai khabar angin.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu tidak pernah menerima sebarang memorandum atau surat daripada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang mengenai perkara tersebut.

“Saya tak terima apa-apa gesaan, itu mengikut khabar angin sahaja, saya tak tahu itu daripada siapa.

“Dikatakan ada tiga ADUN, tapi saya tak pernah terima apa-apa memorandum atau pun mana-mana surat daripada mana-mana ADUN,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan terdapat desakan dalam DAP dikatakan bertujuan menyekat Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilantik semula menjawat jawatan itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Spekulasi tercetus apabila difahamkan terdapat gerakan yang mahu Pengerusi DAP tersebut kembali menerajui kerajaan negeri dan antara yang mendesak agar Guan Eng membuat kemunculan semula di Pulau Pinang ialah tiga ADUN yang enggan dinamakan. – Malaysiapost

Komen