Shahrir dakwa pemimpin DAP prejudis dalam isu pengampunan Najib
VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abd Samad membidas sikap pemimpin DAP yang didakwa bersikap prejudis berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Shahrir berkata, perkara itu dapat dilihat apabila pemimpin DAP tidak menganggap pembatalan kes rasuah Pengerusi DAP, Lim Guan Eng oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebagai ‘sesuatu yang luar dari biasa’.
“Kecerdikan pun boleh terhindar oleh prejudis. Bila perbicaraan Lim Guan Eng dan geng dibatalkan oleh Tommy Thomas, tidak pula pemimpin DAP yang ‘cerdik’ menyatakan ianya suatu yang luar dari biasa.
“Apabila berpuluh akaun milik entiti Umno dan Barisan Nasional (BN) disita tapi akhirnya tindakan Kerajaan PH 1.0 itu sebenarnya di luar undang-undang, orang cerdik macam Ong Kian Ming tidak berbunyi sepatah pun,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Kian Ming yang juga pemimpin DAP, yang menyifatkan DAP tidak akan berkompromi dalam isu pembebasan Najib sebelum hukuman penjaranya tamat.
Sehubungan itu, Shahrir menyifatkan DAP sebagai sebuah parti yang begitu mudah menyalahgunakan kuasa apabila pemimpinnya berkuasa.
“Apabila perbicaraan Najib jelas disusun bagaikan skrip sandiwara dari pemilihan hakim, pendakwa raya swasta dan hakim besar yang dilantik tidak patuh pada undang-undang negara serta penolakan bukti baru dan peguambela baru.
“Kecerdikan (pemimpin DAP) itu disimpan dan tidak menyerlah sangat. Pendakwaan terpilih dan penganiayaan politik. Begitu mudah menyalahgunakan kuasa apabila DAP dan pemimpinnya berkuasa.
“Ini nak bercakap pula pasal pengampunan, patut atau tidak,” katanya.
Justeru, Shahrir mendakwa DAP dan pemimpin-pemimpinnya yang ‘cerdik’ tidak menyelamatkan Malaysia sebaliknya melakukan banyak kerosakan kepada negara, kehakiman, sistem kerajaan dan sistem ekonomi negara selama 22 bulan berkuasa.
Semalam, Kian Ming berkata, sikap kompromi DAP yang bekerjasama dengan parti berbeza dalam Kerajaan Perpaduan masih di tahap yang boleh diterima penyokong akar umbi parti.
Namun tegasnya, perkara itu perlulah tidak melanggar batasan termasuk pembebasan Najib.
“Saya rasa untuk akar umbi dan mungkin juga pemimpin DAP, ‘red line’ itu adalah pembebasan Bossku (Najib),” katanya. – Malaysiapost