Siti Bainun diperintah ke Penjara Kajang hari ini

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menjalani hukuman di Penjara Kajang serta-merta.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati wanita berusia 31 tahun itu gagal menunjukkan keadaan luar biasa bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman terhadapnya.

“Permohonan tertuduh untuk penggantungan ditolak maka mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara serta-merta,” katanya.

Siti Bainun dikenakan hukuman itu selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali Bella, dua tahun lalu.

Izralizam memutuskan perkara itu selepas pembelaan Siti Bainun bukan saja tidak boleh dipercayai dan diterima mahkamah, malah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights