PENCERAMAH bebas terkenal, Mohamad Wadi Annuar mencabar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) untuk menyamannya berhubung kenyataan yang dikeluarkannya semalam.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar membuat cabaran itu menerusi siaran langsung di Facebooknya hari ini bagi menjelaskan apa yang berlaku pada sesi rakaman keterangan yang gagal dijalankan pihak JAIPs, semalam.
Menurutnya, pihaknya sudah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan perkara yang berlaku semasa pihaknya tampil untuk dirakam keterangan, namun penjelasan itu disangkal Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim.
“Yang pertama kami menegaskan bahawa kenyataan media itu adalah benar, perkara yang (dikatakan) berlaku adalah benar dan kita mempunyai saksi bersama kita daripada pagi bermula siasatan sehingga akhir proses.
“Malam tadi kenyataan media JAIPs berkaitan siasatan terhadap saya, dalam perenggan kedua (kenyataan media) JAIPs menyatakan kenyataan (media) saya adalah jauh tersasar daripada realiti sebenar yang berlaku,” katanya.
Beliau turut menegaskan proses siasatan terhadap dirinya semalam gagal bukan berpunca daripada pihaknya, sebaliknya mendakwa ia berpunca daripada JAIPs sendiri.
“JAIPs yang tidak memberi kerjasama, bukannya saya dan sekiranya perkara tersebut tidak benar, maka saya sekali lagi mencabar pihak JAIPs untuk kemukakan saman kepada pihak saya,” katanya.
Menurutnya, sepanjang proses rakaman percakapan itu semua perbualan dirakam secara audio dan video yang patut disiarkan supaya masyarakat boleh menilai sendiri perkara sebenar yang berlaku.
“Saya cabar JAIPs siarkan rakaman tersebut tanpa edit kepada khalayak ramai kepada netizen untuk netizen menilai siapa yang tidak memberi kerjasama.
“Kalau saya berani sebut perkara ini, saya harap cabaran saya sampai dan JAIPs jawab cabaran saya secara rasmi terutamanya pengarah yang malam tadi menafikan kebenaran kenyataan media bertulis dari saya,” katanya.
Malam tadi, JAIPs menyifatkan kenyataan Ustaz Wadi Annuar yang mendakwa jabatan itu tidak memberi kerjasama ketika beliau hadir sesi siasatan semalam, jauh tersasar.
Pengarahnya Najmuddin, berkata Wadi telah hadir ke JAIPs semalam bagi tujuan siasatan, namun kenyataan pendakwah bebas itu gagal diambil.
Ini kerana katanya, Wadi telah keluar dari bilik siasatan dan menghilangkan diri tanpa sebarang makluman. – Malaysiapost