Agong, Raja Permaisuri tiba di London

Agong, Raja Permaisuri tiba di London

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba di London, United Kingdom (UK), jam 4.30 pagi tadi.

Istana Negara dalam kenyataan di Facebook rasminya, memaklumkan keberangkatan tiba Baginda berdua disambut wakil Istana Buckingham, Deputy Lord Lieutenant Elizabeth Slack.

Turut menyambut Baginda adalah Wakil Khas Setiausaha Luar, David Gordon-MacLeod dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar serta isteri, Datin Nor Aini Abdul Rahman.

“Lawatan Khas Seri Paduka Baginda berdua ke London adalah atas persilaan Baginda Raja Charles III bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Baginda sebagai Pemerintah United Kingdom (UK) di Westminster Abbey pada Sabtu ini (6 Mei 2023).

“Seri Paduka Baginda berdua juga turut dijadualkan menghadiri Majlis Resepsi dihoskan oleh Baginda Raja Charles III di Istana Buckingham, London esok (5 Mei 2023),” menurut Istana Negara.

Kali terakhir Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat ke Istana Buckingham ialah pada 12 Oktober 2022 sempena kunjungan hormat ke atas Baginda Raja Charles III.

Kunjungan hormat tersebut bersempena lawatan khas Seri Paduka berdua ke London dari 10 hingga 16 Oktober 2022. – Malaysiapost

Komen