PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib melihat kembali secara lebih fokus dan teliti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan peruntukan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, dasar tindakan afirmatif di bawah Perkara 153 perlu dilaksana dengan lebih kreatif dan inovatif untuk benar-benar menolong Melayu dan bumiputera yang miskin dan mundur ekonominya.
Menurutnya, dasar-dasar bersifat kartel dan monopoli dengan segala keistimewaan permit import (AP) yang selama ini hanya menguntungkan segelintir elit Melayu kroni di kelas atasan perlu dihentikan.
Beliau berpendapat, keutamaan sekarang perlu berpindah kepada menjaga kepentingan jutaan rakyat Melayu miskin dan mundur di seluruh negara.
“Dalam nafas yang sama nasib rakyat miskin dan mundur kaum-kaum lain juga tidak boleh diabaikan. Mereka yang senasib dengan orang-orang Melayu dan bumiputera yang miskin dan mundur itu juga wajib dibela sama.
“Jika ini diaksanakan, barulah boleh panggil kerajaan Anwar Ibrahim ini kerajaan Madani,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini
Hassan berkata, dasar tindakan afirmatif di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu bukan falsafah ekonomi bersifat kapitalis.
Katanya, jika dasar itu dilaksanakan secara pendekatan kelas mirip pendekatan sosialis dengan mengutamakan kelas orang Melayu bawahan yang miskin, maka sudah lama kaum itu dapat dibebaskan daripada kemiskinan dan kemunduran ekonomi.
“Apa yang berlaku dalam tempoh 66 tahun merdeka, Umno parti Melayu yang kuat itu mengambil pendekatan pembangunan ekonomi secara kapitalis terutama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun ataupun satu pertiga daripada tempoh pemerintahan Umno sebelum ia tumbang dalam pilihan raya umum 2018.
“Di bawah pentadbiran Dr Mahathir dasar penswastaan sektor ekonomi dilaksanakan dengan meluas. Syarikat-syarikat milik Kerajaan diswastakan seperti Lembaga Letrik Negara, Jabatan Telekom dan banyak lagi,” katanya.
Beliau mendakwa, Dr Mahathir hanya berjaya melahirkan beberapa orang Melayu untuk menjadi tokoh-tokoh korporat yang kaya raya hasil daripada dasar penswastaannya, manakala jutaan rakyat Melayu yang lain kekal sebagai pekerja-pekerja kolar biru bergaji rendah di bandar-bandar dan petani, pesawah serta nelayan miskin di desa-desa.
Hassan mendakwa, dasar penswastaan dilaksanakan bekas Perdana Menteri itu yang mengutamakan pembentukan kelas kapitalis kroni di kalangan segelintir orang Melayu dari kalangan ahli keluarga serta sahabat rapat elitnya dalam politik dan ekonomi Melayu adalah punca terbesar jutaan umat Melayu dan bumiputera menjadi miskin.
Selain itu, katanya sejak merdeka pada 1957, Umno yang merupakan parti Melayu paling kuat pada masa itu melaksanakan pendekatan kelas dalam menangani kemiskinan dan kemunduran ekonomi.
Beliau berkata, jika pengkelasan tersebut tidak dilakukan maka nasib orang Melayu tidak seperti sekarang ini. – Malaysiapost