AHLI Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya berlakon tegas kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) sahaja dan seorang ‘pendendam tua’ yang kuku besi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, turut mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri itu sebelum ini bahawa pendakwaan kes rasuah tiada kaitan dendam politik.

“Kalau tiada kaitan dendam politik, kenapa hanya satu parti saja menjadi sasaran?
“Kalau tiada kaitan dendam politik, kenapa tiada siasatan terhadap mereka dalam kerajaan pimpinan Umno selepas Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan (Perdana Menteri)?
“Seolah-olah Anwar cuba membuatkan rakyat terlupa bahawa sebenarnya sebelum dia jadi Perdana Menteri (PM), parti yang menerajui kerajaan sebenarnya ialah Umno,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, jika benar tiada dendam politik, kenapa Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu membisu mengenai pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, Anwar hanya berdiam diri mengenai kes-kes yang dihadapi oleh timbalannya itu seolah-olah Ahmad Zahid insan paling suci yang dia cintai.

Wan Saiful berkata, Perdana Menteri itu juga berdiam diri dalam isu pengampunan bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
“Hakikatnya Anwar hanya berlakon tegas kepada individu seperti Tan Sri Muhyiddin (Pengerusi PN), saya, dan pemimpin PN saja.
“Anwar adalah seorang pendendam tua yang kuku besi. Jadi, boleh percaya ka apa Anwar kata?” soalnya.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa dan beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Sementara itu, Muhyiddin pula didakwa dengan tujuh pertuduhan membabitkan enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu dan satu pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lalu.
Enam pertuduhan yang dihadapi adalah membabitkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Manakala satu lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta dan beliau yang juga Presiden Bersatu dan bekas Perdana Menteri mengaku tidak bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan yang dihadapinya. – Malaysiapost