‘Apa lagi tawaran yang kerajaan mahu daripada pembangkang?’ – Ahmad Fadhli

‘Apa lagi tawaran yang kerajaan mahu daripada pembangkang?’ – Ahmad Fadhli

KETUA Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari kecewa dengan sikap kerajaan yang sehingga kini dilihat masih bermain ‘tarik tali’ dalam isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berkata, pembangkang sebelum ini sudah menuruti kehendak kerajaan untuk menghantar wakil berunding berhubung perkara itu, namun tiada keputusan dibuat.

“Bercakap bab peruntukan, kerajaan minta hantar wakil untuk berbincang, wakil sudah pergi berbincang.

“Sekarang kerajaan tunggu tawaran dari pihak pembangkang pula, entahla apa lagi tawaran yang dimahukan untuk dapatkan hak rakyat. Inilah Kerajaan Madani,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, beliau meyaksikan proses menimbun batu untuk kerja menurap di Jalan Kubur Besar, Paloh Tendong, Pasir Mas, Kelantan.

Beliau yang Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, keadaan itu menyebabkan wakil rakyat pembangkang kini terpaksa menggunakan dana yang diikhtiarkan sendiri untuk membantu rakyat.

“Walaupun dinafikan peruntukan oleh Kerajaan Pusat setakat ini, kita laksanakan hasrat rakyat setakat mampu menggunakan sumber-sumber yang diikhtiarkan sendiri,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, memaklumkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak menetapkan sebarang syarat kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan agihan peruntukan disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau yang ditugaskan berunding dengan pembangkang berhubung isu itu, dilaporkan berkata, kerajaan hanya mahu pembangkang mengemukakan tawaran rasmi dalam urusan itu seperti yang dilakukan ketika pentadbiran kerajaan diketuai Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini. – Malaysiapost

Komen