VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Ab Samad mempersoalkan apakah kerjasama dengan Umno dalam kerajaan pusat kini bukan ‘red line’ (batasan) bagi akar umbi DAP.
Persoalan itu dibangkitkan susulan kenyataan Bendahari DAP Selangor, Ong Kian Ming yang mendakwa pengampunan bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sebagai sesuatu yang tidak boleh dikompromi akar umbi DAP.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu juga mempersoalkan kewajaran kenyataan yang dibuat oleh parti lain dalam komponen Kerajaan Perpaduan itu.
“Siapa jurucakap DAP ni? Anthony Loke bagi kepimpinannya? Ong Kian Ming bagi akar umbi DAP?
“Lebih kurang macam PAN (Amanah) juga? Mohamed Sabu, Sallahudin Ayub bagi pihak kepimpinan PAN tapi Khaled Samad bagi akar umbi PAN?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, Kian Ming telah meletakkan garisan merah (‘red line’) terhadap pengampunan Najib sedangkan ia suatu isu penting untuk akar umbi Umno.
“Ong (Kian Ming) hanya melihat kepada soal pengampunan Najib sebagai ‘red line’ tapi begitu banyak ‘red line’ yang dicerobohi oleh kepimpinan kerajaan DAP selama 22 bulan.
“Sebab itu, PH (Pakatan Harapan) tak dapat cukup kerusi nak tubuh kerajaan selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) sehingga kena dapat sokongan dari Umno dan GPS (Gabungan Parti Sarawak).
“Bersama dengan Umno dalam kerajaan bukan ‘red line’ bagi akar umbi DAP?” sindirnya.
Kian Ming sebelum ini dilaporkan berkata, DAP perlu berkompromi mengenai beberapa perkara selepas bekerjasama dengan parti berbeza dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau bagaimanapun memberi peringatan bahawa ada batasan yang tidak boleh dilanggar kerajaan termasuklah pembebasan Najib. – Malaysiapost