DAP bukan ‘abang besar’ dalam PH-BN – Mahfuz

AMANAH menafikan DAP bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, berkata berbeza pandangan dalam sesuatu isu bukan kayu pengukur untuk melabel parti tertentu sebagai ‘abang besar’ yang didakwa mengawal parti-parti komponen lain dalam PH.

Katanya, tidak berlaku kecelaruan antara kedua-dua gabungan tersebut seperti didakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Malah, beliau turut menegaskan, pendirian bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berhubung perbezaan pandangan antara Umno dalam isu pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak mewakili DAP.

“Dia (Kian Ming) bukan pemimpin DAP lagi. Jadi dakwaan bahawa DAP adalah ‘abang besar’ dalam PH-BN adalah tidak benar. Isu ‘abang besar’ itu sudah dinafikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz turut menyifatkan isu itu sudah selesai setelah Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub sendiri membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pemimpin Umno.

“Saya cuma ingin menyatakan bahawa saling memohon kemaafan dan memaafkan satu sama lain adalah satu tindakan yang mulia. Walaupun kita tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Jadi, apabila Timbalan Presiden Amanah memohon maaf kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, saya anggap perkara ini selesai,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa DAP bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam PH dan BN apabila pemimpinnya tidak diasak untuk memohon ampun kepada Umno susulan pandangannya dalam isu pengampunan Najib.

Malah, Muhammad Sanusi menyifatkan kerjasama PH dan BN ketika ini semakin bercelaru. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights