Mahfuz ingatkan Sanusi bayar saman RM120,000 segera

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menuntut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan difailkan ke atasnya.

Mahfuz berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya dalam masa terdekat untuk tindakan yang bersesuaian termasuk menyita aset Menteri Besar berkenaan jika beliau masih menangguh bayaran saman itu.

“Saya kena minta peguam saya untuk bertindak membuat tuntutan tersebut atau saya akan tunggu nasihat daripada peguam saya untuk sama ada memfail kebankrapan ke atasnya atau sita harta beliau yang berjumlah RM120,000.

“Itu saya hanya menunggu sajalah. Apa nasihat peguam yang boleh saya lakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz menyifatkan alasan Muhammad Sanusi meminta beliau merujuk dan berurusan dengan peguamnya bukan secara terus adalah tidak relevan, malah melengah urusan pembayaran saman itu.

“Sekarang sudah melebihi 14 hari daripada tempoh bayaran saman itu atau permohonan maaf beliau terhadap saya. Sepatutnya pada saya, beliau tak perlu tunggu untuk berurusan antara peguam dia dengan peguam saya.

“Beliau boleh pindahkan terus secara dalam talian dan kongsi (resit) di WhatsApp kemudian buat permohonan maaf. Jadi selesai, tidak perlu lagi melalui peguam dengan peguam. Apabila sudah lebih 14 hari saya kena minta peguam saya bertindaklah,” katanya.

Pada 9 Oktober 2019, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama mengaitkan beliau dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.

Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah yang dalam kes tersebut selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman tersebut daripada RM50,000 kepada RM120,000. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights