SELEPAS berteka-teki dengan angka 126, pemimpin Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman memberi bayangan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan dari istana di selatan.
Meskipun tidak menyatakan secara jelas, kenyataan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu dipercayai merujuk kepada titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menegur sebarang usaha untuk menukar kerajaan.
“Ooo… Patut la PMX selalu turun ke istana selatan… Faham…,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Semalam Sultan Johor, Sultan menzahirkan kebimbangan mengenai desas-desus yang berkait rapat isu kestabilan kerajaan yang terus kedengaran ketika ini.
Sultan Ibrahim menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.
“Rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.
“Namun sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.
“Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara kita baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa,” titah banginda melalui kenyataan di Facebooknya.
Sementara itu dalam hantaran berasingan di Facebooknya, Muhammad Faiz memberi bayangan sedang berlaku pergolakan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya.
“Hello… Tengah bergomo sesama sendiri ke dalam PMO tu? Tanya saja. Jangan panik ok.
“Bak kata (Datuk) Zaid Ibrahim dalam videonya semalam, biasanya spekulasi itu betul jika tular,” tulisnya.- Malaysiapost