Pengawal maut ditimbus tebing runtuh

SEORANG pengawal keselamatan maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Wisma YPR, Taman Seputeh, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, berkata Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur (PGOKL) menerima terima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 12.54 tengah malam tadi.

Menurutnya, pasukan bomba seramai 37 orang daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Seputeh, Unit Khas Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Pengesan (K9) telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Komander Operasi Mohd Rizuan Razali memaklumkan, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada jam 1.05 pagi didapati berlaku runtuhan tanah dan menghempap sebuah pondok pengawal yang berada berhampiran.

“Runtuhan tersebut telah melibatkan seorang mangsa lelaki dewasa yang merupakan pengawal keselamatan tertimbus di bawah runtuhan tanah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, operasi pencarian mangsa yang tertimbus di lakukan oleh pasukan bomba dengan bantuan unit K9, STORM dan jentolak dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Mangsa berjaya di bawa keluar pada jam 6.23 pagi dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik.

“Mangsa kemudian diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi turut dibantu oleh agensi dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan DBKL. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights