Proklamasi Orang Melayu hanya mahu guling Kerajaan Perpaduan – Ramasamy

PROKLAMASI Orang Melayu yang dicetuskan Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bermatlamat untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy berkata, beliau menyifatkan proklamasi itu hanya propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu, bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan tiada kaitan dengan usaha memartabatkan kaum berkenaan.

Katanya, proklamasi 12 perkara itu bertujuan menyelamatkan orang Melayu itu amat ironi, kerana ia dicetuskan dan disokong pemimpin yang telah mengecewakan orang Melayu sebelum ini.

“Ironinya, orang yang menjadi sumber pengisytiharan ini dan mereka yang menandatangani proklamasi itu adalah pemimpin sama yang telah mengecewakan orang Melayu selama beberapa dekad.

“Dr Mahathir walaupun menjawat jawatan Perdana Menteri selama dua dekad, tidak pernah berusaha secara serius untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Melayu.

“Namun, sebagaimana seluruh dunia sedar, retorik perkauman dan agama telah digunakan dan dimanipulasi oleh Dr Mahathir untuk memperkayakan ahli keluarga dan kroninya.

“Sekiranya Dr Mahathir dan pemimpin PAS begitu tekad untuk memartabatkan orang Melayu, apa yang telah mereka lakukan selama ini?,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu turut mempersoalkan mengapa Dr Mahathir tidak menggunakan ‘kuasa diktator maya’ ketika menjadi Perdana Menteri selama lebih 22 tahun untuk melakukan sesuatu yang memberi impak bagi menaik taraf sosial dan ekonomi orang Melayu.

“Dr Mahathir berpendapat beliau seoranglah yang dapat menyelamatkan orang Melayu daripada penindasan dan kezaliman, tetapi dia mudah lupa, kadang-kadang sengaja dilupakan, bahawa dia adalah pemimpin yang gagal menyatukan orang Melayu,” katanya.

Malah, beliau menyoal PAS yang telah memerintah Kelantan dan Terengganu selama puluhan tahun, namun masih gagal mengangkat status orang Melayu yang didakwa ‘begitu miskin’, selain penduduk di Kelantan masih dihimpit isu air bersih.

Katanya, disebabkan itu Dr Mahathir dan Abdul Hadi disifatkan sebagai tidak sesuai untuk bercakap tentang perpaduan Melayu atau untuk memartabatkan orang Melayu.

“Proklamasi Orang Melayu tidak lain selain propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu untuk menggugat dan menjatuhkan kerajaan perpaduan.

“Pengisytiharan itu adalah bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan memartabatkan orang Melayu,” katanya.

Semalam, tular gambar menunjukkan pertemuan antara Dr Mahathir dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dipercayai di kediaman bekas Perdana Menteri itu, yang turut disertai beberapa pemimpin PAS dan sekretariat Proklamasi Orang Melayu.

Dalam perkongsian di media sosial semalam, PAS mengakui pertemuan itu adalah bagi parti itu menyatakan sokongan kepada program Proklamasi Orang Melayu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights