3 lagi rakyat Malaysia di Sudan tiba di tanah air Ahad ini

TIGA rakyat Malaysia yang terkandas di Sudan dijangka tiba di tanah air pada 7 Mei ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ketiga-tiga rakyat Malaysia itu kini sudah berada di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal, Arab Saudi.

Menurutnya, mereka dijangka tiba di tanah air pada jam 5 pagi (waktu Malaysia) melalui pesawat Saudia SV842 yang diuruskan sepenuhnya oleh Wisma Putra dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.

“Mereka sebelum ini selamat tiba dengan kapal tentera laut Kerajaan Arab Saudi, ‘Amanah’ di King Faisal Naval Base, Jeddah, Arab Saudi pada jam 12.50 tengah malam (waktu Malaysia) hari ini.

“Ketibaan mereka disambut oleh Pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan kemudian dibawa ke tempat penginapan yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zambry berkata, kejayaan berkenaan adalah hasil usaha Wisma Putra, Pasukan Khas Operasi Sudan, Kedutaan Besar Malaysia di Sudan, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Kerajaan Arab Saudi dan beberapa pihak lain.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi kerana sekali lagi membantu rakyat Malaysia keluar dari Sudan dan menyediakan fasiliti sepanjang berada di Jeddah.

“Terima kasih juga kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi ini,’ katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta individu yang mendapati saudara mereka masih berada di negara bergolak itu supaya menghubungi Kementerian Luar.

Sebelum ini, seramai 30 rakyat Malaysia berjaya keluar dari negara yang teruk bergolak tersebut dengan tiba di Jeddah menaiki kapal tentera laut Arab Saudi pada 26 April lalu.

Mereka kemudian selamat pulang ke tanah air pada 28 April lalu – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights