MANA-MANA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang pernah memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal tidak boleh dilantik semula.
Ia termasuk Adun Air Putih, Lim Guan Eng yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sejak 2008 sehingga 2018.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menjelaskan Perkara 7 Fasal 2 (a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan Ketua Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan individu yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan itu bagi dua penggal.
Menurutnya, pindaan Perlembagaan tersebut telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2018 dan berkuatkuasa bermula 1 Februari 2019.
“Undang-undang itu jelas dan ia bukan sahaja mengikat saya pada masa hadapan tetapi (turut) mengikat mana-mana Ketua Menteri yang sudah berkhidmat selama dua penggal pada bila-bila masa.
“Peraturan utama dalam mentafsir Perlembagaan ialah apabila bahasa yang digunakan adalah jelas dan tiada pertimbangan luar perlu dirujuk untuk membantu mencari maksud dalam mentafsir Perlembagaan itu.
“Ini kesimpulan yang boleh kita sampaikan kepada rakyat atau pihak yang tidak pasti dan kita pun selalu mendapat pertanyaan mengenai isu ini,” katanya hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Laporan itu mendakwa, gerakan tersebut dikatakan mahu Guan Eng yang juga Pengerusi DAP kembali menerajui kerajaan negeri dengan alasan Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.
Bagaimanapun seramai 10 Adun DAP yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan negeri menafikan terlibat dalam mana-mana gerakan untuk menyingkirkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri pada PRN akan datang
Sementara itu, ditanya sama ada isu penyingkiran beliau sebagai Ketua Menteri sengaja dimainkan musuh politiknya, katanya, beliau tidak pasti pihak mana yang membangkitkan isu tersebut.
Namun, beliau berkata, isu itu memberi kesempatan kepada kerajaan negeri untuk menjelaskan mengenai pindaan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang berkaitan lantikan Ketua Menteri berkenaan.
“Sebelum ini, pihak yang cuba memainkan isu lantikan Ketua Menteri ini tidak begitu faham dengan isu ini, jadi dengan penerangan hari ini mungkin pihak yang cuba memainkan isu ini juga dapat menerima `pendidikan politik’ yang sewajarnya,” katanya. – Malaysiapost