Anwar mampu jadikan Malaysia antara 30 negara paling minima rasuah – Kit Siang

LIM Kit Siang tidak menjangkakan akan berlaku ‘keajaiban’ bagi Malaysia mencatatkan peningkatan 40 anak tangga dalam masa setahun dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terbitan Transparency International (TI).

Veteran DAP itu berpendapat, jika keajaiban berlaku semestinya ia akan mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai salah satu negara teratas di Asia dalam usaha memastikan tadbir urus yang baik dengan integriti awam dan rasuah yang minima.

Menurutnya, Malaysia kini berada di tempat ke-61 dalam kalangan 180 negara di seluruh dunia dengan markah sebanyak 47 mata per seratus, antara markah yang terendah yang pernah dicatatkan.

“Sekiranya tidak kerana perubahan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Malaysia akan terus merosot dalam penerbitan carta tahunan TI CPI.

“Ia seperti yang berlaku di bawah pemerintahan kerajaan “pintu belakang” Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya dalam satu kenyataan di Pulau Pinang, hari ini.

Beliau mendakwa, pentadbiran dua Perdana Menteri berkenaan mengakibatkan segala usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum itu untuk mencapai prestasi TI CPI yang terbaik pada tahun 2019 disia-siakan.

“Muhyiddin dan Hadi (Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang) tidak menentang rasuah. Muhyiddin hanya menentang skandal gergasi 1MDB.

“Manakala Hadi pula kelihatan selesa dengan skandal 1MDB memandangkan dia langsung tidak pernah mengkritik skandal 1MDB,” katanya.

Kit Siang mendakwa, Muhyiddin dan Abdul Hadi tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Malaysia terus jatuh dalam carta-carta TI CPI yang akan datang.

“Tetapi, dengan Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia boleh ada harapan untuk melihat Malaysia mencapai kedudukan 30 negara teratas dengan rasuah yang minima.

“Sekiranya bukan menjelang penghujung penggal lima tahun Kerajaan Perpaduan Anwar pada tahun 2027, selewat-lewatnya semasa penghujung penggal kedua Anwar sebagai Perdana Menteri pada tahun 2033,” katanya.

Sementara itu, Kit Siang berpendapat cara terbaik untuk meraikan lonjakan 40 anak tangga yang dicatatkan negara dalam Carta Kebebasan Akhbar Dunia 2023 terbitan RSF adalah dengan membentuk Majlis Media.

“Wartawan veteran, Datuk Johan Jaafar dan Datuk Zaini Hassan, adalah antara mereka yang telah mengatakan penubuhan majlis media ini bertepatan masanya.

“Masanya sudah tiba untuk kerajaan perpaduan Anwar mengumumkan berita baik mengenai penubuhan majlis media ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights