NAIB Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad membidas pihak tertentu yang memalsukan kenyataan media kononnya dikeluarkan PAS bahawa Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-11.
Bekas Menteri Agama itu menyifatkan tindakan pihak terbabit umpama bermain politik seperti zaman 1960-an.
“Boleh agak dah kerja siapa. Kesian main politik zaman 60-an. Tahniah jentera medsos (media sosial) kita pantas. Lagi dekat dengan PRN makin banyak kita temui.
“InsyaAllah jentera kita sentiasa bersiap sedia untuk tangkis semua. Semangat PRU lepas terus disemarakkan. Takbir,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan kenyataan media yang mendakwa Abdul Hadi akan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-11.
Beliau menyifatkannya kenyataan media yang tular itu sebagai palsu dan menegaskan ia tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang disebutkan.
Kenyataan media yang tular itu menyebut, Abdul Hadi telah mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Selain itu, ia juga menyatakan Abdul Hadi telah diperkenankan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 5 Mei bagi mempersembah surat akuan bersumpah daripada 115 Ahli Parlimen. – Malaysiapost