MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek berharap semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama menangguhkan semua aktiviti luar melibatkan murid dan guru dan pensyarah.
Fadhlina berkata, beliau mengambil maklum kebimbangan semua terutama ibu bapa berkenaan pelaksanaan aktiviti luar seperti sukan dan merentas desa ketika cuaca panas.
“Saya menghargai segala usaha dan keprihatinan seluruh warga KPM khususnya pentadbir di peringkat daerah dan sekolah dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan pelajar dan murid sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Semalam KPM mengarahkan semua institusi pendidikan di bawahnya menangguhkan aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas.
KPM memaklumkan, larangan itu termasuk untuk aktiviti seperti merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah. – Malaysiapost