Isham Jalil rakam ucapan takziah kepada keluarga Hasanah
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil mengucapkan takziah atas pemergian bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Hasanah Abdul Hamid tengah hari tadi.
Beliau menyifatkan Hasanah seorang sahabat dan pegawai kerajaan yang baik serta berdedikasi sepanjang berkhidmat.
“Saya kenal Allahyarhamah selama beberapa tahun dan pernah berkhidmat bersama-sama di JPM dahulu.
“Beliau adalah seorang sahabat dan pegawai kerajaan yang baik dan berdedikasi dan telah berkhidmat untuk negara sepanjang kariernya.
“Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang solehah. Al-Fatihah,” tulisnya di Facebook.
Hasanah yang berusia 66 tahun, menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Desa Pinggiran Putra, Kajang pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Allahyarhamah meninggal dunia akibat penyakit kanser hati yang dihadapinya sejak September tahun lalu. – Malaysiapost