Kelantan, Terengganu terima 417,368 kg bekalan gula

SEJUMLAH 417,368 kilogram (kg) gula berjaya diedarkan kepada pemborong di Kelantan dan Terengganu, hari ini susulan isu kekurangan bekalan gula di dua negeri berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof, berkata pengedaran bekalan gula itu dilaksanakan melalui Ops Manis hasil pemantauan pasukan khas yang ditubuhkan KPDN.

Menurutnya, operasi bersepadu itu dilancarkan bermula 3 Mei lalu sehingga 9 Mei ini bagi tempoh seminggu yang bertujuan memulihkan bekalan gula di setiap lapisan rantaian pembekalan.

Beliau berkata, hasil pelaksanaan operasi di kedua-dua negeri itu pada hari ini mendapati pengedaran gula daripada kilang kepada pemborong utama adalah sebanyak 147,840 kg di Kelantan dan 269,528 kg di Terengganu.

Menurutnya, pengedaran itu membabitkan 17 pemborong utama di Kelantan dan 19 lagi di Terengganu.

“Berdasarkan laporan pasukan khas di Kelantan, sebanyak 280 premis membabitkan 263 pemborong dan peruncit serta 17 pasar raya diperiksa dan mendapati bekalan gula ada hasil pengedaran serta penghantaran oleh enam pemborong utama.

“Pasar raya utama, Mydin menerima jumlah bekalan gula tertinggi pada hari ini, menjadikan jumlah stok bekalan gula sebanyak 71,040kg daripada syarikat MSM.

“Pasar raya yang mengambil bekalan dari pusat pengedaran (DC), seperti Econsave, Aeon Mall, Giant serta Lotus pula masih mempunyai bekalan gula tetapi tidak mampu memenuhi permintaan setempat dan menunggu penghantaran daripada pihak DC mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, pasukan petugas KPDN Terengganu pula memaklumkan bahawa sebanyak 148 premis membabitkan pemborong, peruncit dan pasar raya sudah menerima bekalan hasil edaran daripada 10 pemborong utama.

Beliau berkata, pemborong utama, iaitu Shanghai Hung Chong Sdn Bhd sudah menerima jumlah bekalan gula tertinggi pada hari ini sebanyak 45,360kg daripada syarikat CSR.

“Hasil laporan diterima mendapati Terengganu menerima bekalan gula tertinggi, iaitu sebanyak 141,768kg daripada MSM dan 127,760kg daripada CSR.

“Bagi isu kekurangan gula di Terengganu pada hari ini, didapati pasar raya utama yang menerima edaran dari DC juga menerima pembelian yang tinggi dan berlaku kehabisan bekalan.

“Pasar raya yang menerima bekalan dari DC adalah Mydin, Giant, Tunas Manja, Econsave dan Nirwana,” katanya.

Menurutnya, KPDN sentiasa komited mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang kawalan di seluruh negara.

“Ini bagi memastikan bekalan untuk kegunaan rakyat Malaysia mencukupi serta tidak berlaku ketirisan yang akan merugikan negara,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights