Kerajaan komited atasi isu keselamatan dan kesejahteraan negara – Saifuddin
KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi perhatian serius dan komitmen penuh bagi mengatasi isu-isu membabitkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Perdana Menteri sangat prihatin dan memberi komitmen tinggi dalam menyelesaikan menyelesaikan isu sedemikian.
Beliau berkata, antara isu yang menjadi tumpuan adalah membabitkan ancaman keselamatan sempadan negara, kesesakan di Tambak Johor, pekerja asing dan beberapa perkara lain.
“Pagi tadi saya bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi, memberikan taklimat kepada Perdana Menteri.
“Ia membabitkan hal kesesakan Tambak Johor, urusan keimigresenan, pengurusan pekerja asing, ancaman keselamatan sempadan serta beberapa perkara lagi terkait keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurutnya, kementeriannya akan menyediakan jalan penyelesaian bagi menangani permasalahan yang sudah sekian lama berlarutan itu.
“Kerajaan Perpaduan memberi perhatian serius dan komitmen penuh bagi mengatasi isu sebegini,” katanya. – Malaysiapost