Kerajaan Madani ‘double standard’ tangani rasuah – Fadhli Shaari

Kerajaan Madani ‘double standard’ tangani rasuah – Fadhli Shaari

KETUA Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari memuji tindakan menamatkan kontrak lima pegawai yang bekerja di bawah Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, ia satu langkah yang baik daripada kerajaan apabila pegawai yang sedang disiasat pihak penguatkuasan dipindahkan ke jabatan lain atau ditamatkan kontrak.

“Saya puji ia satu langkah yang baik. Tetapi yang peliknya mereka baru sahaja disiasat oleh SPRM, belum lagi didakwa atau dibicarakan di mahkamah.

“Bagaimana pula yang dibicarakan di mahkamah, diberi kuasa yang lebih tinggi..yang kedua tertinggi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan ia tidak salah kerana hanya baru dibicarakan dan belum didapati bersalah,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan ‘double standard’ dalam pentadbiran kerajaan Madani.

“Jadi kalaulah yang jadi Timbalan Perdana Menteri dalam keadaan dikatakan baru dibicarakan…kenapa lima pegawai menteri ini ditamatkan kontrak sedangkan mereka baru sahaja disiasat.

“Dalam erti kata lain bahawa prinsip untuk memerangi rasuah bagus dari sudut kata-katanya, momokkannya…sangat bagus, tetapi pelaksanaannya gagal. Renungkanlah,” katanya.

Media semalam melaporkan kontrak lima pegawai yang bekerja di bawah Menteri Sumber Manusia, ditamatkan dan seorang lagi pegawai daripada kementerian berkenaan dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sebelum ini, SPRM menahan tiga pembantu Sivakumar, bagaimanapun membebaskan mereka selepas perintah reman empat hari tamat pada 17 April lalu.

Penahanan mereka dipercayai berhubung siasatan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu. – Malaysiapost

Komen