KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 4,963 kes Covid-19 pada Minggu Epidemiologi ke-17 (ME 17/2023) iaitu dari 23 sehingga 29 April lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata ia peningkatan tiga peratus berbanding 4,817 kes dilaporkan pada ME 16/2023 (16 hingga 22 April 2023).
Katanya, seperti diperhatikan dalam pelaporan data Covid-19 semasa musim perayaan beberapa tahun kebelakangan ini, sememangnya akan terdapat sedikit peningkatan kes
Tambahnya, data dari Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM juga menunjukkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 (termasuk pesakit yang disyaki) ke fasiliti kesinatan awam meningkat dari 4.8 bagi setiap 100,000 populasi kepada 5.8 pada ME 17/2023 berbanding ME 16/2023.
“Pesakit kategori 1 dan 2, meningkat dari 1.4 kepada 1.8 per 100,000 populasi; manakala pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat dari 1.3 kepada 2.0 per 100,000 populasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Muhammad Radzi menambah, peratus pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 pada 4 Mei ialah 15 peratus dan pengisian katil bukan kritikal Covid-19 ialah 23 peratu.
“Keadaan jangkitan Covid-19 di Malaysia masih terkawal dan perkhidmatan kesihatan serta kapasiti di hospital tidak terjejas.
“Majoriti pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti individu dengan komorbid dan warga emas.
“Namun peningkatan itu tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital masih beroperasi seperti biasa,” katanya. – Malaysiapost