Mantan pegawai AS berkomplot bagi menutup keganasan terhadap Uyghur

Mantan pegawai AS berkomplot bagi menutup keganasan terhadap Uyghur

ULASAN| Di barat Wilayah Autonomi Xinjiang, China telah meningkatkan kawalan dan pengawasan untuk mengintip etnik Uyghur.

Kamera pengintip dipasang di sepanjang jalan raya, masjid dan pintu rumah, sekaligus mewujudkan satu sistem yang komprehensif bagi mengawasi serta menahan ribuan penduduk di sana.

Kebanyakan kamera pengintip yang digunakan bagi menjayakan sistem ini dihasilkan oleh Hikvision.

Walau bagaimanapun, syarikat pengeluar kamera pengintip terbesar dunia tersebut sudah sekian lama menafikan penglibatan mereka dalam isu penindasan terhadap etnik Uyghur dan lain-lain etnik minorti Muslim di sana.

Pada tahun 2019, susulan tekanan berterusan daripada Amerika Syarikat (AS), Hikvision memberi kebenaran untuk siasatan dijalankan ke atas lima projek terbesar mereka di Xinjiang yang didiami hampir 25 juta orang penduduk.

Syarikat berkenaan melantik penyiasat bebas, Pierre-Richard Prosper, mantan pegawai kanan yang ditugaskan menyiasat jenayah perang semasa pentadbiran Bush dan mentan pendakwaraya jenayah perang di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lewat tahun 90-an.

Hasil siasatan penuh tersebut masih lagi belum didedahkan. Namun, Hikvision telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak maklum akan penglibatan mereka dalam mana-mana isu pencabulan hak asasi manusia.

Walau bagaimanapun, satu rakaman yang terdedah baru-baru ini mendapati Hikvision sebenarnya maklum tentang isu di Xinjiang di samping projek-projek mereka di sana berkaitan dengan beberapa syarikat yang telah diembargo AS.

Pendedahan tersebut jelas mengejutkan kerana seorang mantan pegawai AS yang mempunyai rekod cemerlang memperjuangkan hak asasi didakwa terlibat dalam komplot membersihkan imej syarikat perisik berkenaan yang sedang diembargo AS.

Kenyataan Pierre-Richard Prosper dalam rakaman tersebut turut mendedahkan penglibatan Hikvision dalam isu-isu kemanusiaan di Xinjiang.

Bulan lalu, Hikvision mengadakan satu persidangan mengenai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di Sydney, Australia. Pierre-Richard Prosper menyampaikan taklimat berkenaan ‘pengenalan kepada pematuhan hak asasi manusia’ sebagai salah seorang panelis yang dijemput.

“Di dalam kontrak, kita mendapati beberapa perkataan yang digunakan adalah tidak bertepatan apabila menyentuh soal masjid, dan beberapa perkara lain, yang mana menunjukkan kontrak itu merujuk kepada satu etnik tertentu dan bukannya merujuk kepada mana-mana individu penjenayah,” kata Pierre-Richard Prosper dalam rakaman yang diperoleh oleh IPVM dan dikongsi oleh The Intercept.

Kerajaan China merupakan pemegang saham terbesar Hikvision, dengan 40 peratus pegangan.

Namun, syarikat berkenaan masih menyatakan bahawa mereka merupakan entiti yang bebas dan berkecuali. Bulan lalu, Jabatan Perdagangan AS memasukkan 5 subsidiari Hikvision yang berpangkalan di Xinjiang dalam senarai hitam, selepas Hikvision diletakkan di dalam senarai tersebut pada tahun 2019.

Pada bulan Februari, Hikvision telah memfailkan saman ke atas AS susulan pengharaman penjualan produk mereka di negara berkenaan.

Tambahan pula, lokasi projek Hikvision di Xinjiang menyamai nama subsidiari mereka di sana : Luopu, Moyu, Pishan, Urumqi, dan Yutian.

Di Xinjiang, Hikvision melobi lebih kurang 15 projek dan berjaya mendapatkan 5 projek, menurut Pierre-Richard Prosper. Beliau menjelaskan bagaimana Kerajaan China dan Xinjiang membangunkan sistem risikan di bandar tersebut.

Untuk siasatan, Pierre-Richard Prosper menerima lebih kurang 15,000 muka surat dokumen dan membaca 5,000 muka surat setiap baris tanpa ada yang terlepas pandang.

Kontrak berkenaan mengariskan modus operandi sistem pengawalan yang dibangunkan Hikvision di wilayah yang didiami etnik Uyghur seperti Moyu yang menempatkan lebih 500 ribu penduduk di barat daya Xinjiang.

Di persidangan tersebut, Pierre-Richard Prosper bercakap tentang projek di Moyu.

“Kebimbangan terbesar tentang Moyu ialah penggunaan bahasa di dalam kontrak. Bahasa yang digunakan mengenalpasti pengganas, Uyghur, dan menjelaskan mereka ingin memantau beberapa fasiliti termasuk masjid,” katanya.

Pierre-Richard Prosper gagal menyatakan bahawa projek di Moyu turut melibatkan kamera 360 darjah di ‘pusat pendidikan semula’, sebuah kem tahanan yang disifatkan Amnesty International sebagai tempat menahan, mengurung dan menghukum etnik Uyghur.

Beliau juga tidak mendedahkan mengenai kamera yang dipasang di setiap pintu masuk hampir 1,000 masjid di Moyu. Dokumen tersebut turut mendedahkan lebih 3,00 penduduk Moyu dihantar ke pusat tahanan.

Malah, beliau dilihat cuba menyembunyikan peranan Hikvision dengan menyatakan bahawa kritikan yang diberikan adalah berpunca daripada perbezaan budaya meskipun terdapat banyak bukti yang jelas menunjukkan salah laku terhadap etnik Uyghur.

Hikvision menyatakan bahawa meskipun Pierre-Richard Prosper dilantik dan dibayar sendiri oleh mereka untuk menjalankan siasatan, reputasi beliau dalam isu hak asasi sewajarnya meyakinkan orang ramai bahawa siasatan dijalankan dengan telus tanpa sebarang campur tangan.

Pierre-Richard Prosper dilihat lebih bimbang mengenai penggunaan bahasa di dalam kontrak berbanding peranan Hikvision dalam pencabulan hak asasi di Xinjiang.

“Kami mahu Hikvision lebih sensitif berkenaan pengunaan bahasa di dalam kontrak. Kami di barat amat menekankan tentang hak asasi. Sekiranya Hikvision mahu menjadi syarikat yang dihormati di peringkat global, perkara tersebut perlu difahami,” kata Pierre-Richard Prosper.- Malaysiapost

Artikel ini ditulis NGO Malaysia For Uyghur dan disiarkan tanpa suntingan. Ia tidak mencerminkan pendirian Malaysiapost

Komen