SEORANG pemimpin Bersatu mempersoal Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sampai bila mahu bertahan menggunakan nama istana.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman turut mempersoal sama ada kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih mempunyai majoriti.
“Betul ke sudah tiada majoriti? Selama mana mampu bertahan guna nama istana?,” soalnya menerusi hantaran ringkas di Facebooknya hari ini.
Semalam, selepas berteka-teki dengan angka 126, Muhammad Faiz memberi bayangan kepimpinan Perdana Menteri mendapat sokongan dari istana di selatan.
Meskipun tidak menyatakan secara jelas, beliau dipercayai merujuk kepada titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menegur sebarang usaha untuk menukar kerajaan.
“Ooo… Patut la PMX selalu turun ke istana selatan… Faham…,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Kelmarin Sultan Johor menzahirkan kebimbangan mengenai desas-desus berkait rapat isu kestabilan kerajaan yang terus kedengaran ketika ini.
Sultan Ibrahim menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.
Sebelum itu, Muhammad Faiz seakan membayangkan Perikatan Nasional (PN) mampu membentuk kerajaan baharu apabila mempunyai 126 Ahli Parlimen.
Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan jumlah 126 yang dimaksudkannya sama ada ia melibatkan jumlah ahli Parlimen atau sebaliknya.
“Wartawan tanya pasal 126 tu. Saya sebut maaf tiada komen. Just wait & see (tunggu dan lihat). Saya juga tak pernah cakap itu nombor apa kan,” katanya. – Malaysiapost