BARISAN Nasional (BN) mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata BN tetap bersama dengan aspirasi rakyat untuk melihat sebuah negara aman dan stabil dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang disepakati semua parti yang membentuk kerajaan atas asas Kerajaan Perpaduan.
“Ini seperti yang dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Maka, BN menyeru kepada semua pihak untuk memberi fokus kepada agenda membangunkan negara dan menolak sebarang bentuk politik gugatan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Menurut Zambry, terdapat pelbagai spekulasi terkini yang cuba dimainkan dalam media sosial oleh kalangan tertentu yang kehilangan kompas politik kestabilan melalui usaha ancaman dan gugatan bertujuan melihat negara terus berantakan.
“Negara mendambakan sebuah kerajaan yang stabil untuk membangunkan semula agenda pembangunan, pertumbuhan dan pemacuan negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks,” katanya.
Sebelum ini, khabar angin bertiup mendakwa wujud beberapa gerakan yang sedang berusaha untuk menumbangkan kerajaan yang terdiri daripada beberapa Ahli Parlimen.
Perkara itu turut diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun pihaknya yakin kerajaan ketika ini akan kekal mentadbir sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. – Malaysiapost