BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwanya masih tidak memulangkan kereta Honda Civid Hybrid dirampas agensi itu daripada keluarganya sejak empat bulan lalu.
Shahrir berkata, kereta berkenaan belum dipulangkan kembali biarpun sudah empat bulan Mahkamah Tinggi, mengugurkan kes SPRM terhadap beliau di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Hari ini (semalam) dah 5 Mei 2023. Maknanya, sudah empat bulan semenjak Mahkamah Tinggi mengugurkan kes SPRM terhadap saya dibawah AMLA/LHDN.
“Empat bulan tapi SPRM belum lagi menyerah balik kereta Honda Civic Hybrid yang telah mereka rampas dari keluarga saya sebelum saya didakwa di mahkamah,” katanya menerusi Facebook.
Veteran Umno itu berkata, ketika perbicaraan kes berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya dan SPRM didakwa telah memanggil begitu ramai saksi semata-mata untuk membuktikan beliau membeli kereta itu.
“Sungguh beria mereka nak jadikan kereta itu kononnya bukti jenayah saya. Sehari sebelum kes saya digugurkan, saya ada menulis bahawa Timbalan Pendakwa Raya SPRM agak kecetekan fahaman tentang undang-undang. Dan keesokan harinya, Timbalan Pendakwa Raya menyatakan kepada saya supaya jangan panggil mereka cetek fahaman.
“Baiklah. Kalau mereka tidak cetek dari segi fahaman undang-undang, mengapa pula sudah empat bulan dan mereka belum lagi menyerah kembali kereta Honda Hybrid yang telah mereka rampas itu,” katanya.
Shahrir berkata, kes berkenaan sudah digugurkan dan ini bermakna SPRM sudah ‘mengaku kalah’, namun mengapa suruhanjaya itu tidak memulangkan semua apa yang telah mereka rampas.
“Mahkamah menyerah kembali wang jamin dan pasport kepada saya pada keesokan hari. Begitu cepat.
“Ini, sudah empat bulan semenjak kes dibuang oleh mahkamah. Ia bukan kerana kecetekan. Tapi kerana tidak pegang kepada cogan kata SPRM sendiri iaitu ‘Amanah, Adil & Tegas’. Buat malu je bertaraf sebuah Suruhanjaya,” katanya.
Pada 5 Januari lalu, Shahrir dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas satu pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada LHDN.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi memaklumkan bahawa pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes terhadap bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu. – Malaysiapost