SEBUAH feri yang membawa 79 penumpang termasuk kru yang dalam perjalanan dari Pulau Redang ke Jeti Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, terbakar, petang tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat Maritim Kuantan pada 3 petang.
“Feri berkenaan membawa 79 individu dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Redang menuju ke Jeti TTI sebelum terbakar ketika berada berhampiran Pulau Bidong.
“Bertindak atas laporan, dua aset milik APMM telah digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata, kesemua mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dipindahkan ke Jeti TTI.
Katanya, kebakaran telah merebak ke seluruh bahagian feri dan dianggarkan musnah 100 peratus manakala punca insiden masih disiasat.
Terdahulu, video insiden itu tular di media sosial yang memaparkan sebuah feri terbakar berhampiran Pulau Bidong. – Malaysiapost