GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) berpegang kepada prinsip akur terhadap hasrat Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan kerajaan yang stabil bagi memulihkan ekonomi negara.
Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata isu berkaitan politik perlu diketepikan dan fokus kepada rakyat dalam usaha memulihkan ekonomi perlu diutamakan.
“Apa yang pasti tumpuan GPS sekarang ialah pertama sekali untuk memastikan membentuk kerajaan yang stabil, itu hasrat kita.
“Sebab itu kita akur kepada hasrat Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang stabil supaya ia dapat memulihkan ekonomi negara.
“Ini kerana ekonomi yang kukuh bukan hanya dapat memulihkan ekonomi dan menarik pelabur, tetapi dapat membantu rakyat. Rakyat sekarang mengharapkan agar semua parti politik menumpukan kepada kebajikan dan kemaslahatan negara.
“Justeru, fokus kita memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara kita sahaja buat masa ini,” katanya.
Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap semua parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan termasuk pembangkang harus menghentikan politiking.
“Perkara politik di peringkat pembangkang ataupun kerajaan perlu diketepikan dan seharusnya memberi tumpuan memastikan kita fokus kepada pembangunan dan pemulihan negara kita.
“Itulah fokus GPS untuk (tidak terus) berpolitik lagi kerana sekarang ini ialah masa untuk kita membangunkan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah yakin Kerajaan Perpaduan yang dibentuk mempunyai sokongan kuat dan stabil untuk mengurus dan mentadbir negara.
“Ia dapat dilihat ketika bajet diluluskan, dengan suara penuh maknanya kerajaan sekarang ini stabil dan kuat. Dengan jumlah 148 sokongan,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan ada gerakan dilakukan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dengan menggunakan individu berpengaruh.
Ia termasuk menarik sekurang-kurangnya 12 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) keluar parti dan merebut semula kerusi melalui Pilihan Raya Kecil atas tiket pembangkang. – Malaysiapost