Isham: Sila bawa ‘beruang’ itu balik
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dengan skandal 1MDB.
Jelasnya, bekas Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berusaha untuk membawa pulang Jho Low.
“Kalau betul, ini saya sokong. Sila bawa ‘beruang’ ini balik. Dulu Mahathir tak buat dan sembang saja.
“Kalau Anwar boleh bawa budak ini balik, bagus. Buktikan,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Semalam Anwar berkata, kerajaan berpendirian akan tetap membawa pulang ahli perniagaan itu ke Malaysia secepat mungkin walaupun proses tersebut sukar.
Anwar berkata, kerajaan telah berunding dengan beberapa negara untuk mempercepatkan proses membawa pulang Jho Low.
“Sudah tentu (ingin bawa pulang secepat mungkin). Ia merupakan pendirian (kerajaan) dan kita amat tegas sejak hari pertama lagi,” katanya apabila ditanya jika kerajaan mahu mengheret Jho Low ke negara ini secepat mungkin untuk dibicarakan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, perundingan secara diplomatik berhubung perkara itu memang telah dijalankan.- Malaysiapost